Ada 6 tunjang dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
1. Tunjang Komunikasi
Tunjang ini terdiri daripada Bahasa
Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa
Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran bahasa
Cina dan bahasa Tamil. Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa
dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur,
kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai
dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni Bahasa merujuk kepada keupayaan
murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan
bahasa seperti drama dan sajak.
2. Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai
Tunjang
ini merangkumi pendidikan Islam dan pendidikan Moral. Pendidikan Islam
dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral
dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.
·
Pendidikan Islam
Pendidikan
Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang Rukun Iman, Rukun Islam,
Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci,
berwuduk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan
melakukan amalan harian mengikut adab. Pada masa yang sama murid ini juga
mengenal asas bahasa Al-Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz
beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan
Islam dijalankan melalui aktiviti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid,
aktiviti hands-on, meneroka dan bermain.
·
Pendidikan Moral
Pendidikan moral
prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan
sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak dijalankan
melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua aktiviti yang
dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan adalah seperti kepercayaan kepada Tuhan, baik hati,
bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih
sayang, keadilan, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan,
toleransi, berdikari dan berdisiplin.
3. Tunjang Ketrampilan Diri - Perkembangan
Sosioemosi
Pendidikan prasekolah memberi
penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan
menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika
sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan sosioemosi merangkumi
aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif,
pembinaan konsep kendiri positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan
kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak
berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi
menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan
dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.
4. Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Tunjang ini merangkumi Perkembangan Fizikal
dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti.
·
Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan
Kanak-kanak
pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot
mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana
tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah
dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan
melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik
serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang
pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar
serta kordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang
dirangkumi termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek,
membaling objek serta postur yang betul semasa duduk.
Tunjang ini juga memberi penekanan
kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan
persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan
memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya kanak-kanak
yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada
pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga
menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan
kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan
diri.
·
Perkembangan Kreativiti
Perkembangan
kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan
kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak
diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri
dalam aktiviti kreativiti.
Fokus
seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi kreatif dan apresiasi. Aplikasi
seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk
menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi kreatif adalah proses penghasilan karya.
Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga
menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang
lain.
Pendidikan
Muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi,
penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvisasi dan apresiasi muzik.
Drama dan
Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif di mana murid
diberi peluang untuk main peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara
kreatif.
Aktiviti tunjang ini bukan sahaja digunakan
untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai
objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif
sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.
5.
Tunjang Sains dan Teknologi - Awal Sains dan Awal Matematik
Tunjang ini merangkumi awal sains, awal
matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan
ICT.
·
Awal Sains
Awal Sains menyediakan
peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ
deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang
positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Semasa
proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti kemahiran memerhati,
mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan mengelas juga akan
dikembangkan. Penerokaan dijalankan ke atas alam hidupan seperti tumbuhan dan
haiwan, alam bahan seperti objek yang tenggelam dan timbul, air dan magnet dan
alam fizikal seperti pelangi dan cuaca. Tunjang ini lebih mementingkan
penguasaan kemahiran daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap
terbuka terhadap pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid.
Awal Sains menyediakan peluang
kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun untuk membuat pembinaan menggunakan
objek seperti blok. Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada
kanak-kanak untuk mempelajari konsep penghubung, lingkungan serta awal
matematik tetapi untuk meningkatkan daya kreativiti murid dan kemahiran motor
halus.