Tuesday 4 June 2013

Tunjang Dalam Kurikulum Standard Prasekolah


Ada 6 tunjang dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan





1.     Tunjang Komunikasi

                      Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris adalah wajib dipelajari oleh semua murid prasekolah. Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dipelajari oleh murid di prasekolah yang beraliran bahasa Cina dan bahasa Tamil. Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni Bahasa merujuk kepada keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan permainan bahasa seperti drama dan sajak.

2.      Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai

 Tunjang ini merangkumi pendidikan Islam dan pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu.

·        Pendidikan Islam
        Pendidikan Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas tentang Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah. Murid prasekolah belajar bersuci, berwuduk, melakukan pergerakan solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengikut adab. Pada masa yang sama murid ini juga mengenal asas bahasa Al-Quran, huruf hijjaiyah dan Jawi serta menghafaz beberapa surah pendek dan doa pilihan. Pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dijalankan melalui aktiviti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid, aktiviti hands-on, meneroka dan bermain.

·        Pendidikan Moral
Pendidikan moral prasekolah memberi fokus kepada pelakuan moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah. Pendidikan moral tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi diterapkan melalui kesemua aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah. Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah seperti kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima kasih, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, toleransi, berdikari dan berdisiplin.

3.    Tunjang Ketrampilan Diri - Perkembangan Sosioemosi

           Pendidikan prasekolah memberi penekanan kepada perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi mereka kurang stabil dan mantap. Perkembangan sosioemosi merangkumi aspek mengenali dan mengurus emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif, pembinaan konsep kendiri positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.

4.    Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

                Tunjang ini merangkumi Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti. 
·        Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan
                  Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, kemahiran motor kasar serta kordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkumi termasuk teknik yang betul untuk melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur yang betul semasa duduk.
               Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pembinaan amalan penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran dan pemakanan yang berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia mereka. Secara lazimnya kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep kendiri yang positif. Tunjang ini juga menekankan aspek keselamatan diri daripada sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka termasuk langkah menjaga kehormatan diri.

·        Perkembangan Kreativiti
           Perkembangan kreativiti merangkumi seni visual, pendidikan muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses daripada produk. Kanak-kanak diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.
             Fokus seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi kreatif dan apresiasi. Aplikasi seni merujuk kepada proses mengenal dan memilih bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi kreatif adalah proses penghasilan karya. Apresiasi seni melibatkan proses menceritakan hasil kerja sendiri dan juga menunjukkan penghargaan terhadap keindahan persekitaran serta hasil kerja orang lain.
             Pendidikan Muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik menerusi bahan atau objek improvisasi dan apresiasi muzik.
             Drama dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan gerakan kreatif di mana murid diberi peluang untuk main peranan, berlakon, menari dan membuat gerakan secara kreatif.
               Aktiviti tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai objektif pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.

5.   Tunjang Sains dan Teknologi - Awal Sains dan Awal Matematik

            Tunjang ini merangkumi awal sains, awal matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan ICT.
·        Awal Sains
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti akan terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan piawai, membanding dan mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan dijalankan ke atas alam hidupan seperti tumbuhan dan haiwan, alam bahan seperti objek yang tenggelam dan timbul, air dan magnet dan alam fizikal seperti pelangi dan cuaca. Tunjang ini lebih mementingkan penguasaan kemahiran daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap terbuka terhadap pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid.
           Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun untuk membuat pembinaan menggunakan objek seperti blok. Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari konsep penghubung, lingkungan serta awal matematik tetapi untuk meningkatkan daya kreativiti murid dan kemahiran motor halus.

Sunday 2 June 2013




Bermain Sambil Belajar

Kanak-kanak yang kurang diberi peluang bermain kerana ketaksuban ibu bapanya serta guru pra sekolahnya ingin memberi pendidikan berbentuk akademik semata-mata, tidak dapat menikmati sepenuhnya usia pra formal mereka. Saya pasti anda sudah sedar berdasarkan perbincangan kita bahawa kecenderungan dan keinginan untuk bermain bukan sekadar hobi atau perbuatan membuang masa untuk kanak-kanak.

Kecenderungan dan keinginan kanak-kanak untuk bermain lahir dari naluri mereka untuk meneroka serta mengumpulkan pengalaman-pengalaman baru tentang dunia di sekeliling mereka dan juga mengenai kehidupan. Melalui penerokaan ini dan dengan pengalaman yang dikumpulkan, kanak-kanak akan mula belajar dan mereka boleh menguasai ilmu pengetahuan dengan cepat!

Amat kasihan si kecil yang dipaksa duduk ‘belajar’ seperti anak remaja atau orang dewasa di dalam kelas. Lebih kasihan lagi apabila ada kanak-kanak yang disuruh pula menghadiri kelas tuisyen dan kelas tambahan pada usia yang sebegitu muda dengan alasan ia sebagai persediaan untuk menjadikan mereka generasi ‘genius’ atau ‘pintar cerdas’...

Kanak-kanak perlu diberi peluang dan ruang untuk menjadi ‘kanak-kanak’ dalam dunia mereka sendiri. Jika mereka berterusan dipaksa menguasai ilmu akademik, ia tidak pula bermakna secara automatik mereka akan menjadi seorang genius secara serta-merta. Namun hari demi hari, aktiviti bermain semakin dikurangkan dan kadangkala ditiadakan terus dalam kamus hidup si kecil kontemporari.

Dua Aktiviti Terakhir ‘Bermain Untuk Belajar’
Walau bagaimanapun, saya percaya dan amat yakin bahawa anda yang sedang membaca dan yang selalu setia mengikuti ruangan ini mempunyai pemikiran yang jauh lebih terbuka dan holistik dengan pandangan dunia yang lebih luas berbanding ibu, bapa serta pendidik prasekolah lain.

Hari ini memang agak sukar untuk kita mengelakkan diri daripada perangkap kepercayaan umum (common sense). Kemudian ada pula yang menggelar diri ‘pakar’ cuba memberi perspektif baru tentang dunia si kecil kontemporari – misalnya cara untuk menjadikan anak kita seorang ‘genius’. Namun, apabila difikirkan secara logik dan semakin topik seperti ini diperhalusi nyata ia tidak lebih daripada slogan komersial dan iklan kosong yang tidak mempunyai atau kurang bukti-bukti sahih dari penyelidikan saintifik.

Oleh itu, untuk meneruskan perbincangan kita, bulan ini dua aktiviti ‘Bermain Untuk Belajar’ terakhir perlu kita cuba fahami sebagai usaha dan wadah kita membentuk jati diri kanak-kanak pra formal generasi pasca tahun 2000. Moga-moga dengan memberi peluang dan ruang kepada si kecil untuk bermain, kita akan dapat pula membantu mereka mengumpulkan ilmu pengetahuan yang berguna demi masa depan mereka kelak.

Bermain Untuk Belajar - Aktiviti ‘Bermain’ Dengan Bahasa
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak pra formal! Ia bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia 2 tahun anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang amat menarik (lagi melucukan) ini.

Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya sendiri, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya sendiri misalnya sebelum waktu tidur atau apabila dia bangun setiap pagi. Kadangkala, kita yang memerhati tidak akan faham tutur kata si kecil namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa akan penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Ia juga akan diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walaupun dia sedang bercakap dengan dirinya sendiri!

Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga menjadi semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.

Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh ibu, bapa atau guru pra sekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin ketara ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa. Pada masa yang sama kemahiran asas berbahasa seperti kemampuan meniru sistem bunyi (atau fonologi), penguasaan perbendaharaan kata dan erti perkataan (atau semantik), penguasaan tata bahasa dan nahu, serta penguasaan bahasa yang sesuai berdasarkan situasi (atau pragmatik) – berkembang pada kadar yang menakjubkan sejajar dengan kekerapan aktiviti bermain dengan bahasa.

Ertinya, jika kita dapat membantu, mendorong dan memberi ruang serta peluang kepada si kecil untuk bermain dengan bahasa sedapat mungkin, kita sebenarnya akan membantu perkembangan minda dan proses pembentukan pandangan dunianya (atau world view). Segala-galanya bermula apabila seorang bayi mula membuat bunyi-bunyi yang aneh dan lucu. Siapa sangka kalau perbuatan ini sebenarnya menjadi asas kepada perkembangan minda dan proses pembentukan acuan pemikiran yang lebih kompleks?

Nasihat ikhlas saya, saya disia-siakan peluang yang ada jika buah hati kesayangan anda sedang berada dalam lingkungan usia 2 hingga 4 tahun. Ambil bahagian dalam aktiviti bermain dengan bahasa mereka kerana peluang ini hanya datang sekali dalam hidup anak kesayangan anda itu. Sambil bermain dengannya, anda sebenarnya sedang mengambil bahagian dalam pembentukan diri seorang individu yang amat istimewa.

Bermain Untuk Belajar - Aktiviti Bermain Berimaginasi
Jika anda mengikuti perbincangan kita sejak bahagian pertama siri artikel ini, anda pasti sedar bahawa setiap aktiviti bermain dalam dunia si kecil pada usia pra formal akan membantu perkembangan jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Aktiviti bermain berimaginasi sebenarnya mempunyai potensi untuk membantu perkembangan empat dimensi berbeza ini secara serentak. Dalam erti kata lain, ia boleh kita lihat sebagai aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak!

Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain. Misalnya jika anda berpura-pura untuk tidur di sebelahnya, anak kesayangan anda itu juga akan cepat tidur secara olok-olok. Bukan itu sahaja, bintang hati anda itu boleh ‘menidurkan’ anak patungnya atau beruang teddynya jika dia disuruh tidur.

Ini adalah contoh lazim permulaan aktiviti bermain berimaginasi. Ia adalah aktiviti yang penuh dengan imaginasi kerana ia memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (anda) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan yang berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh anak anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.

Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi seperti biasa ia akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, ia akan menjadi babak yang lebih panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.

Itu sebabnya dalam lingkungan usia 3 tahun dan ke atas, si kecil akan menunjukkan kemampuan dalam aktiviti bermain berciri sosiodramatik (sociodramatic play). Ia sebahagian aktiviti bermain berimaginasi cuma aktiviti bermain sosiodramatik lebih rumit kerana ia mengandungi berbagai-bagai unsur, perkara atau peranan yang berbeza dan ia juga melibatkan pembabitan aktif orang lain (lazimnya kanak-kanak sebaya) yang bukan hanya menjadi penonton semata-mata.

Peranan yang dimainkan oleh si kecil mungkin menjadi semakin panjang lebar dan ia mungkin juga menunjukkan ciri-ciri penceritaan daripada dunia sebenar, misalnya cara orang dewasa bercakap sesama mereka atau perkara-perkara yang terjadi di klinik apabila si kecil sakit dan perlu berjumpa doktor. 1001 jenis situasi boleh ‘dihidupkan’ oleh kanak-kanak melalui aktiviti bermain sosiodramatik.

Lebih menarik lagi, mereka akan mula belajar nilai empati dan simpati misalnya dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain berimaginasi ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan pakar perkembangan kanak-kanak juga menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini akan membantu si kecil belajar untuk berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan kita sehari-hari.







Saturday 1 June 2013



Membentuk Kemahiran Membaca 

Kanak-kanak

            Kata orang bijak pandai, "Kunci untuk mendapat pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan." Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.         
         Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.
          Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi. Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan "mama" dan "papa". Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.
           Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.
           Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

* Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.
* Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

* Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, "Ni apa?" atau "Apa tu?" Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

         Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak.

            Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

* Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.
* Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.

* Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.

* Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.

* Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.

* Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.

* Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.

* Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.

Kesan tidak tahu membaca.

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar. Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar. Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar. Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk. Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba. Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

* mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
* belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.

* kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.

* rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.

* kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun

* peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
* terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.

* perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.

* kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.

* pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.

* mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun

* perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
* kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.

* corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.

* mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.Walau bagaimana pun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Membantu kanak-kanak membaca.

Mengajar kanak-kanak berminat dengan membaca adalah sangat penting. Terdapat beberapa panduan yang mudah bagi melaksanakan usaha anda.

1. Jadikan membaca satu tabiat. Jemput kanak-kanak membaca dengan anda setiap hari. Bantu anak anda membaca dari kiri ke kanan dan memahami setiap perkataan yang dikatakannya, dari satu perkataan ke satu perkataan.

2. Bacakan buku yang sukai kanak-kanak berkali-kali. Mereka akan mempelajari perkataan baru dan mengingat cerita yang mereka sukai. Seterusnya akan diceritakan kepada rakan-rakannya pula.

3. Bacakan cerita dengan rentak perkataan yang berkaitan dan ulang beberapa kali. Contohnya perkataan "terkejut." Tunjukkan bagaimana mimik muka dan nada suara "terkejut" kepada anak anda. Tunjukkan perkataan demi perkataan sepanjang sesi membaca berkenaan.

4. Bincangkan perkataan baru dan buatkan mereka bermain-main dengan perkataan itu. Contohnya: Rumah yang besar ini adalah istana. Siapa yang kamu fikir akan tinggal di istana?Jika ada gambar, tanya apa yang dilihat dan kaitannya dengan cerita berkenaan.Bacakan buku yang mempunyai pelbagai jenis cerita kanak-kanak seperti kisah sirah nabi, kamus bergambar, puisi dan buku-buku bermaklumat yang bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.